Thursday, May 29, 2008

Bioteknologi

Bioteknologi : Ancamannya Terhadap Manusia & Alam

Bioteknologi merupakan satu bidang sains yang dikaji untuk membantu meningkatkan kualiti hidup manusia dari pelbagai segi, misalnya dalam bidang pertanian, perubatan dan kualiti alam sekitar. Bioteknologi ialah proses di mana sel atau organisme (biologi) digunakan sebagai bahan asas dalam proses (teknologi) untuk menghasilkan sesuatu produk. Dalam erti kata lain bioteknologi merupakan kajian sains mengenai benda hidup dengan menggunakan teknik atau proses teknologi untuk meningkatkan penghasilan sumber hidupan dan penghasilan pelbagai produk lain.

Bioteknologi terbit daripada dua unsur iaitu ‘biologi’ dan ‘teknologi’. Kamus Dewan mentakrifkan ‘biologi’ sebagai ilmu hayat atau benda-benda hidup. Sementara ‘teknologi’ itu pula bermakna ilmu pengetahuan mengenai segala ilmu yang berkaitan dengan perindustrian dan sains gunaan yang mempunyai nilai ekonomi.

Persidangan mengenai kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah membuat satu takrifan bagi bioteknologi: “Bioteknologi bererti sebarang penggunaan teknologi yang menggunakan sistem biologi, organisma hidup, atau teori terhasil darinya, bagi menghasilkan atau mengubah barangan atau proses bagi kegunaan khusus.”

Walaupun kini bioteknologi telah memainkan peranan penting dalam pelbagai aktiviti kehidupan, bioteknologi ini masih lagi perlu diperhalusi terutamanya dari segi status halal haram dan kesannya terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusiawi dan alam. Menerusi kajian para saintis, bioteknologi ini masih terdapat kekurangan yang mampu membawa padah kepada manusia dan alam.

Teknologi baru yang radikal yang memecahkan sempadan genetik ini bukan sahaja antara spesis tetapi juga antara manusia, haiwan dan tumbuhan mendatangkan risiko serius serta ibarat meletakkan manusia sebagai ‘tikus makmal’.
Menurut pakar, keselamatan proses ujikaji kajian akan sentiasa berada dihujung tanduk kerana kesilapan yang berlaku tidak akan dapat ditarik balik daripada alam dan kesannya akan merebak tanpa sempadan. Tidak seperti kajian dan ujikaji kimia dan nuklear, ‘pencemaran genetik’ tidak dapat dibersihkan. Kesilapan genetik ini akan berpanjangan dan bersambung antara generasi ke generasi (Mohideen Abdul Kader, A guide to Genetically-modified Foods in Malaysia).

Edwin Chargoff, seringkali dirujuk sebagai Bapa Biologi Molekul, pernah menyatakan bahawa pengubahsuaian genetik di dalam makanan ibarat “Suatu eksperimen yang paling besar dan berbahaya di dalam sejarah manusia.” Beliau mengibaratkan pengubahsuaian ini sebagai ancaman yang paling besar berbanding teknologi nuklear.

Pada tahun 1998, Dr. Arpad Pusztai, seorang saintis British telah mempelopori kajian mengenai kesan makanan yang mengalami pengubahsuaian genetik (GM) terhadap nutrisi haiwan dan alam telah mendapati bahawa ia memberikan kesan negatif terhadap usus, badan,tahap metabolisma dan sistem imunisasi tikus yang diuji.

Kajiannya melibatkan ubi kentang GM yang diberikan kepada tikus bagi diperhatikan kesan perubahan pada fisiologi, terutamanya usus, proses metabolisma dan sistem imunisasinya. Kajian mendapati saiz beberapa organ tikus telah mengecil termasuk otak dan sistem imunisasi melawan penyakitnya bertambah lemah. Akibat daripada hasil dapatannya itu, Pusztai telah disingkirkan dan dipaksa bersara daripada pasukan ujikajinya di Rowett Tesearch Institute selepas melahirkan kegusarannya kepada media.

Antara ancaman makanan GM ini adalah alahan, kadar toksid, daya tahan antibiotik meningkat dan kesan-kesan sampingan luar jangkaan lain. Mengubahsuai struktur genetik suatu makanan juga boleh mewujudkan toksin pembunuh yang pada asalnya adalah selamat bagi tubuh badan.
Bakteria yang telah mengalami kejuruteraan genetik (GE) bagi tujuan menghasilkan makanan tambahan dalam kuantiti besar, L-tryptophan, telah menghasilkan toksik yang membunuh lebih 30 orang dan mencacatkan lebih 5,000 orang di Amerika Syarikat sebelum ditarik balik dan diharamkan penghasilannya oleh Food and Drug Administration (FDA).

Kajian yang dijalankan oleh Michigan State University juga mendapati tanaman yang melalui proses GM dan GE bagi melindungi daripada virus akan mengakibatkan virus tersebut bermutasi kepada suatu bentuk baru lebih berbahaya dan berupaya menyerang spesis tumbuhan dan hidupan lain.

Selain kesannya terhadap kesihatan dan alam, makanan yang dihasilkan melalui kaedah bioteknologi ini juga tidak terlepas daripada isu halal haramnya. Surah al-Baqarah ayat 172 bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar-benar menyembah hanya kepada-Nya.”

Al Quran dan Sunnah memandang soal halal haram makanan ini sebagai suatu yang besar yang mana mampu memberi kesan terhadap kehidupan di dunia dan di akhirat. Menurut perkiraan Islam, soal halal haram makanan akhir yang diambil bergantung juga dengan persoalan asas bagaimana ia dihasilkan, dari mana ia dihasilkan dan siapa yang menghasilkannya.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu.” (al-Baqarah: 168).

Setiap kejadian alam ini, termasuklah tumbuh-tumbuhan telah di jadikan Allah dengan sempurna mengikut kitaran kehidupan masing-masing. Maka setiap cubaan untuk mengubah kitaran dan hukum alam ini, adalah seumpama cubaan untuk mencabar kekuasaan Allah. Dan setiap cubaan untuk mencabar kekuasaan Allah, pasti akan membawa kepada kehancuran. Oleh itu saya menyeru kepada semua pihak , usaha-usaha BioTek dalam hal tanaman dan pemakanan hendaklah dikaji semula, sebelum bencana menimpa !

Monday, May 19, 2008

Luahan Hati

Kekuatan Parti Kerana Ahli nya

Parti / Pertubuhan / Persatuan / Perikatan atau apa-apa lagi yang semakna dengannya adalah sesuatu yang ditubuhkan oleh manusia. Peraturan-peraturan di dalamnya yang juga disebut sebagai “Perlembagaan” juga adalah dicipta dan digubal oleh manusia. Pentadbirannya juga adalah dilaksanakan oleh manusia. Oleh kerana Parti / Pertubuhan / Persatuan / Perikatan atau apa-apa lagi yg semakna dengannya itu dicipta oleh manusia, perlembagaannya juga digubal oleh manusia & ianya ditadbir juga oleh manusia, bukannya Jin atau Malaikat, maka dasar-dasar Parti / Pertubuhan / Persatuan / Perikatan atau apa-apa lagi yg semakna dengannya sama ada yg baik, buruk, adil atau zalim juga adalah diputuskan oleh manusia dan ianya adalah tidak tetap dan bila-bila masa sahaja boleh diubah bergantung kepada manusia yang mempunyai kuasa untuk merubahnya.

Oleh itu, tidak ada mana-mana Parti yang boleh mendabik dada bahawa parti mereka sahajalah yang lebih membela “Ketuanan Melayu”, bahwa Parti merekalah yang lebih “Islam”, bahawa parti merekalah yang lebih boleh memberi “Keadilan”.

Oleh kerana dasar sesuatu Parti itu boleh sahaja dirubah oleh mereka yg mempunyai kuasa keatasnya, iatulah para pemimpinnya dan secara tidak langsung ahli-ahli Parti yang melantik para pemimpin yang berkuasa itu, maka sesuatu parti itu, boleh sahaja bertukar daripada sebuah parti yang membela “Ketuanan Melayu” kepada parti yang membela ketuanan “Tauke-Tauke”. Boleh juga bertukar daripada dasar “Bangsa” kepada dasar “Islam”, daripada dasar “Keadilan Kepada Semua” kepada dasar “Keadilan Hanya Untuk Yahudi”, bahkan boleh sahaja bertukar daripada sebuah parti yang memperjuangkan “Islam”, kepada sebuah parti yang Islam diluar tetapi “Sekular” di dalamnya yang sanggup menggadai prinsip demi keindahan “Kerusi”.

Begitulah ianya mengikut apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi dan yang akan terjadi. Sesuatu Parti / Pertubuhan / Persatuan / Perikatan atau apa-apa lagi yg semakna dengannya akan menjadi kuat dan kukuh apabila ianya dipenuhi oleh orang-orang yang hebat perjuangannya, yang ikhlas dan murni jiwa raganya. Oleh itu, di atas Parti manapun seseorang itu berada, jika ahlinya ikhlas dalam perjuangan dan berusaha merubah kerosakan dan berjuang ke arah kebaikan dan sanggup bersuara membetulkan kepincangan pemimpinnya, maka sebuah parti yang “Hitam Legam” pun akan boleh bertukar menjadi “Putih Bersih”, sebuah parti yang hampir karam pun boleh kembali meredah lautan yang luas. Jika kita semuanya mempunyai prinsip sebegini, InsyaAllah, perpaduan yang dicari itu, akhirnya akan menjelma!

Sunday, May 4, 2008

Biotechnology : Malapetaka Yg Menanti

Saintis yang paling terkenal pada abad ke-20 iaitu Albert Enstein pernah berbicara berkenaan dengan Lebah.
“ Jikalau sang lebah lenyap daripada muka bumi ini, umat manusia hanya akan mampu bertahan selama 4 tahun untuk hidup. Tiada sang lebah, tiada pendebungaan, tiada tumbuhan, tiada binatang, dan tiadalah manusia”
Agak pelik seorang ahli fizik terkemuka berbicara mengenai subjek yang diluar bidangnya iaitu biologi. Walau bagaimanapun, peringatan yang diberi oleh Enstein ini telah memberi satu petanda yang cukup penting untuk kita yang sedang melangkah maju dalam abad ke-21 ini.
Siapa sangka perkara yang dibicarakan Enstein itu benar-benar berlaku pada tahun 2005.Walter Haefeker, Naib Presiden Persatuan Penjaga Lebah Profesional Eropah telah menimbulkan rasa resahnya pada keadaan yang berlaku kepada koloni lebah di Eropah.
Tanpa diketahui sebabnya, populasi lebah di Jerman semakin menghilang dan ini memberi kemudaratan kepada penjaga-penjaga lebah di sana. Di Amerika Syarikat berbeza pula, dimana populasi lebah mati secara mendadak dalam kuantiti yang banyak yang akan memberi kesan ekonomi yang besar kepada sektor yang terlibat secara langsung ataupun tidak. Tiada siapa yang mengetahui sebab mengapa populasi lebah-lebah itu musnah tetapi sesetengah saintis percaya bahawa bencana ini berlaku akibat daripada tanaman tumbuhan ubah suai genetik (genetically modified plants) atau tumbuhan transgenic secara besar-besaran di US sebagai salah satu faktor
Laporan daripada Persatuan Penjaga Lebah Bavaria di Jerman pernah melaporkan bahawa sebanyak 12% daripada populasi lebah tempatan telah berkurangan. Felix Kriechbaum, salah seorang daripada ahli persatuan tersebut menjelaskan bahawa “ jikalau populasi lebah hilang tanpa kesan, agak sukar untuk kami melakukan siasatan kerana kebanyakkan daripada mereka tidak mati di dalam sarang mereka.” Terdapat banyak sebab yang membolehkan lebah-lebah tersebut hilang deria orientasi yang akan menyebabkan lebah-lebah tersebut tidak mampu pulang ke sarang mereka semula.
Presiden Persatuan Penjaga Lebah Jerman, Manfred Hederer pula melaporkan bahawa sebanyak 25 % penurunan jumlah populasi lebah di seluruh Jerman. Tambahnya lagi “dalam kes terpencil pernah berlaku penurunan sebanyak 80 % jumlah populasi lebah”. Beliau menjangkakan terdapat “ toksin - bahan kimia yang tidak biasa diketahui” yang mungkin membunuh lebah-lebah tersebut.
Di Amerika berlaku bencana yang lebih dahsyat. Penjaga lebah di pantai timur Amerika Syarikat melaporkan mereka telah kehilangan sebanyak 70 peratus bilangan lebah mereka manakala di pantai barat, mengalami penurunan sehingga 60 peratus. Dalam satu artikel yang pernah disiarkan dalam akhbar New York Times dalam ruangan bisnes menekankan bahawa “ kesan yang buruk bakal diterima sektor pertanian Amerika jikalau lebah-lebah berterusan mati”. Pakar di Universiti Cornell memperjelaskan lagi hipotesis New York Times dengan menganggarkan jumlah keuntungan yang diperoleh melalui penglibatan lebah-lebah dalam pendebungaan buah-buahan, dan sayur-sayuran untuk dijadikan makanan kepada manusia dan haiwan ternakan berjumlah kira-kira 15 bilion US dolar.
Komuniti saintis menggelarkan fenomena misteri ini sebagai Colony Collapse Disorder (CCD) yang semakin pantas bertukar menjadi masalah nasional. Ada juga saintis yang melabel masalah ini sebagai “ AIDS kepada industri penjagaan lebah”. Apa yang pasti adalah berjuta lebah telah hilang begitu sahaja. Yang hanya tinggal dalam sarang ialah anak-anak yang pasti akan mati kerana tidak diberi makanan oleh lebah-lebah dewasa yang hilang tersebut. Lebih ganjil, lebah-lebah yang mati itu tidak dijumpai di dalam sarang ataupun di sekitar kawasan sarang mereka. Saintis yang sedang melakukan penyiasatan turut berasa hairan kerana simptom yang di paparkan dalam kes ini tidak dapat dirujuk dalam mana-mana data dan maklumat yang tersedia ada berkenaan lebah.
Dalam banyak kes saintis masih berjaya menemui bahan bukti bahawa hampir semua virus yang berkaitan dengan lebah telah ditemui pada lebah-lebah yang dijumpai dalam sarang setelah kehilangan secara besar-besaran yang berlaku dalam koloni lebah tersebut. Sesetengah daripada lebah tersebut menerima 5 hingga 6 jenis jangkitan dan pada masa yang sama juga dijangkiti oleh kulat. Saintis membuat kesimpulan bahawa tanda-tanda sebegini hanya berlaku kepada lebah yang telah musnah sistem antibodi mereka.
Kejutan lain buat para saintis yang menyelidiki kes ini ialah sarang lebah yang terbiar tidak didatangi oleh lebah-lebah dan haiwan yang lain. Kebiasaannya koloni lebah yang berdekatan atau parasit akan mencuri madu dan debunga yang ditinggalkan atas sebab yang berbeza seperti kesejukan yang melampau dalam musim sejuk. Para saintis tersebut membuat hipotesis bahawa “terdapat sesuatu yang toksik pada koloni yang tertinggal yang membuatkan haiwan lain menjauhi daripadanya”.
Walter Haefeker melihat perkara ini melebihi dari skop industri penjagaan lebah. Beliau membuat andaian bahawa kemungkinan paling besar faktor yang mempengaruhi fenomena ini ialah pertambahan bilangan ladang tanaman ubah suai genetik (GM) yang mempunyai sifat rintang serangga perosak telah ditanam sekitar 40 % di ladang jagung di Amerika Syarikat. Di Jerman jumlahnya hanya sekitar 0.06 % yang hanya merangkumi kawasan di sebelah timur Mecklenburg dan Brandenburg. Beliau telah menghantar beberapa saintis untuk membuat kajian di kawasan tersebut dan mencari hubungan antara tanaman GM dan penyakit yang dialami oleh lebah.
Kajian yang dibuat di Universiti of Jena berkisar mengenai kesan debunga daripada jagung GM jenis Bt (Bt Corn) terhadap lebah memberi satu pandangan baru. Sifat jagung Bt yang tahan daripada serangan serangga perosak ialah dengan mengeluarkan rembesan toksik kepada serangga perosak tersebut. Setakat ini tidak ada bukti kukuh kes yang berlaku melibatkan jagung Bt tetapi apabila para saintis tersebut memberi racun jenis Bt kepada lebah yang diuji, jangkitan parasit berlaku kepada lebah tersebut yang membawa kepada maut. Antibodi lebah tersebut terus hilang dan ini dapat dilihat melalui jangkitan parasit terhadap lebah tersebut.
Mengikut Profesor Hans-Hinrich Kaarz daripada University of Halle yang juga merupakan salah seorang daripada Direktor kajian tersebut, beliau menyifatkan jangkitan parasit itu mungkin berlaku akibat kesan toksik yang telah mengubah permukaan usus lebah tersebut seterusnya memberi peluang kepada parasit untuk masuk. Eksperimen itu dikendalikan dengan meningkatkan kepekatan toksin tersebut sebanyak sepuluh kali ganda daripada kandungan yang biasa terdapat dalam debunga Bt selama 6 minggu.
Itulah kes yang berlaku di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat yang dicanangkan sebagai Negara yang maju lagi moden. Kejayaan dalam bidang sains dan teknologi telah menjadikan mereka angkuh dan bongkak dalam mengatur ekologi yang jelas telah sempurna ditetapkan Tuhan. Tangan-tangan saintis yang bersifat sekularisme itu telah menidakkan peranan Tuhan dalam mengatur alam.
Dalam kes ini, hanya semata-mata untuk meningkatkan keuntungan dalam produksi pertanian, mereka telah mengubah sifat asal sesuatu tanaman dengan penggunaan bioteknologi. Mungkin di satu sudut kita lihat kebaikan daripada teknologi ini, tapi di satu sudut yang lain, seperti mana yang berlaku terhadap koloni lebah telah jelas menunjukkan bahayanya apabila kita cuba menjadi Tuhan. Kes sebegini perlu dikaji dengan lebih mendalam oleh para intelektual Islam agar kita tidak menjadi seperti mereka dengan membawa analisa dan paradigma yang lebih holistik dalam isu ini.
Selain daripada lebah, mangsa teknologi GM yang radikal ini mengenai serangga bukan sasaran ( non target species) yang lain seperti kupu – kupu Monarch yang merupakan spesis kebanggaan di US. Apa yang berlaku terhadap serangga – serangga bermanfaat ini terhadap sistem pendebungaan semulajadi ini adalah , mereka keracunan, mati dan semakin pupus akibat daripada menghisap madu dari debunga tanaman GM . Inilah manfaat teknologi tanaman yang di ubah suai yang di dakwa dan di gembar – gemburkan oleh pihak – pihak yang terlibat dalam usaha membangunkan penyelidikan dan pemberian dana kepada penyelidikan tersebut dan syarikat multinasional barat yang menerajui bidang ini untuk di komersialkan atas nama keuntungan ekonomi.
Hakikat sebenarnya, teknologi bioteknologi dalam bidang pertanian sama sekali tidak mampu memberikan hasil tanaman yang berkualiti tinggi, tidak langsung mengurangkan penggunaan racun serangga, tidak membantu meninggikan taraf ekonomi petani, tidak meningkatkan hasil pendapatan Negara dalam bidang pertanian, malah tidak juga mengurangkan masalah kebuluran bagi Negara miskin. Teknologi yang masih di ragui manfaatnya berbanding kesan buruk yang telah di buktikan di peringkat antarabangsa. Hasil daripada penyelidikan badan bebas antarabangsa terhadap teknologi GM yang telah wujud lebih dahulu di Negara mereka berbanding Malaysia yang masih lagi bertatih dalam membangunkan usaha ini. Adalah wajar bagi Malaysia untuk menyelidiki dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Negara dunia sebelum perkara yang buruk turut kita ulangi, alami dan rasai impaknya.

Thursday, May 1, 2008

Misteri: Perang Nuklear Zaman Kuno

Mahabaharata dan Ramayana ceritakan berlaku peperangan besar pada zaman purba yang turut babitkan senjata nuklear, peluru berpandu.

DUA epik India kuno, Mahabaharata dan Ramayana yang dipercayai ditulis kira-kira 3,500 tahun lalu, menceritakan tercetusnya satu kejadian besar pada zaman purba yang benar-benar membuatkan pembaca khususnya penyelidik terpaku kebingungan. Meneliti baris demi baris dalam cerita panjang yang ditulis pada dua epik berbahasa Sanskrit itu membuatkan penyelidik tertanya-tanya akan kebenarannya dan sehingga kini peristiwa yang terkandung dalam setiap ayat yang tertera pada epik itu masih kekal misteri. Benarkah perang nuklear sudah tercetus pada zaman India kuno, ribuan tahun lalu? Persoalan itu mendorong kalangan penyelidik untuk mencari logik di sebalik cerita yang ditulis menerusi epik berkenaan. Malah, tatkala meneliti ayat yang menyatakan peperangan itu turut membabitkan pesawat canggih dan digambarkan seperti jet pejuang dan piring terbang pada masa kini, penyelidik semakin terpinga-pinga kehairanan.

Epik terbabit ditulis kira-kira 3,500 tahun lalu atau pada 1,500 Sebelum Masihi (SM) tetapi peristiwa peperangan yang tercatat di dalamnya dikatakan berlaku lebih lama iaitu 5,000 tahun lalu. Mengikut logik akal, keadaan di bumi ketika itu masih terlalu kuno serta jauh daripada perkembangan sains dan teknologi. Pesawat dan jet pejuang yang mampu menembak misil masih belum dicipta ketika itu, apatah lagi teknologi bom nuklear.
Sekiranya berlaku peperangan ketika itu, ia seharusnya membabitkan senjata tradisional seperti pedang, tombak dan panah saja. Paling dahsyat pun peperangan itu, ia akan kelihatan seperti filem '300' yang mengisahkan peperangan pahlawan Sparta menentang Parsi tetapi era Sparta wujud sekitar 500 SM sedangkan peperangan India Kuno itu dikatakan berlaku lebih lama iaitu lebih 3,500 SM.

Begitulah gambarannya mengikut logik akal tetapi penulis epik terbabit menggambarkan seolah-olah peperangan India kuno yang berlaku itu membabitkan senjata nuklear malah serangan turut membabitkan pesawat yang mampu menembak peluru berpandu.
Lebih membingungkan penyelidik, penulis terbabit menggambarkan keadaan itu bagaikan dia melihat sendiri kewujudan kapal terbang terbabit serta mengalami sendiri betapa dahsyatnya kesan letupan bom paling bahaya itu.
Epik Mahabharata dan Ramayana mengisahkan konflik yang tercetus antara dua sepupu iaitu Kurawa dan Pandawa yang hidup di tepi Sungai Gangga. Perjalanan epik itu juga turut menceritakan dua peperangan hebat yang berlaku antara kerajaan Alengka dan Astina, ketika itu.

Perang kali pertama dicatatkan seperti berikut (terjemahan): "Bahawa Arjuna yang gagah berani, duduk dalam Vimana (kenderaan udara mirip pesawat) dan mendarat di tengah air, lalu meluncurkan Gendewa (mungkin tembakan atau peluru berpandu) yang dapat menimbulkan sekali gus melepaskan nyala api yang kuat ke atas wilayah musuh. Seperti hujan lebat yang kencang, mengepung musuh dengan kekuatannya yang sangat dahsyat.
"Dalam sekelip mata, sebuah bayangan yang tebal dengan cepat terbentuk di atas wilayah Pandawa; angkasa menjadi gelap gelita, semua kompas yang ada dalam kegelapan menjadi tidak berfungsi, kemudian badai angin yang dahsyat mula bertiup disertai dengan debu pasir, burung bercicit panik, seolah-olah langit runtuh, bumi merekah.
"Matahari bergoyang di angkasa, panas membara mengerikan yang dilepaskan senjata ini membuat bumi bergoncang, gunung bergoyang, di kawasan darat yang luas, binatang mati terbakar dan berubah bentuk, air sungai kering kontang; ikan, udang dan lainnya semuanya mati.
"Saat Gendewa meledak, suaranya bagaikan halilintar, membuat askar musuh terbakar bagaikan batang pohon yang terbakar hangus."
Gambaran pada perang kali kedua lebih memeningkan penyelidik lebih-lebih lagi menerusi terjemahan berikut: "Pasukan Alengka menaiki kenderaan yang cepat, meluncurkan sebuah rudal (mungkin sejenis peluru berpandu) yang ditujukan ke kota pihak musuh. Rudal ini seperti mempunyai segenap kekuatan alam semesta, terangnya seperti terang puluhan matahari, kembang api bertebaran naik ke angkasa, sangat indah.
"Mayat terbakar sehingga tidak mampu dibezakan. Bulu rambut dan kuku terbakar menggelupas, perkakas tanah liat retak, burung yang terbang terbakar oleh suhu tinggi. Demi untuk menghindari kematian, askar terjun ke sungai membersihkan diri dan senjatanya."
Selesai membaca dan mengkaji epik berkenaan, penyelidik mula menjelajahi bumi India bagi mencari kepastian terhadap cerita yang tertulis itu. Mereka mula menyusuri sepanjang Sungai Gangga bagi mencari kemungkinan adanya tinggalan arkeologi peperangan itu.
Hasilnya amat memeranjatkan penyelidik. Ekspedisi itu menemukan ahli arkeologi dengan banyak kesan runtuhan yang memiliki kesan hangus terbakar di hulu Sungai Gangga. Batu besar pada runtuhan itu terlekat menjadi satu, permukaannya pula menonjol, cengkung dan tidak rata.
Kajian saintifik mendapati proses untuk meleburkan batuan berkenaan memerlukan suhu tinggi melebihi 1,800 darjah Celsius. Dengan kata lain, bara api biasa tidak mampu mencapai suhu setinggi itu dan hanya ledakan nuklear saja mampu mencapai suhu demikian.
Di dalam hutan primitif di pedalaman India pula, penyelidik menemui lebih banyak runtuhan batu hangus. Tembok kota yang runtuh serta tinggalan yang ditemui menjadi seakan kristal dan kaca.

Dalam kebingungan diselubungi enigma, penyelidik berpendapat yang mungkin pada lebih 5,000 tahun lalu sudah wujud suatu peradaban di India yang terlalu futuristik dan maju sehingga mampu membina pesawat perang dan senjata nuklear.
Akan tetapi atas sebab tertentu atau mungkin juga akibat perang nuklear terbabit, peradaban maju India kuno itu lenyap bersama teknologi dan rahsia sains yang dikuasai mereka, sehingga manusia mula menyangka yang dunia purba adalah mundur dan primitif.

INFO:Peperangan India kuno
# Dikatakan membabitkan bom atom, nuklear, pesawat dan senjata laser.
# Gambaran teknologi yang wujud pada zaman India kuno itu hampir menyerupai gambaran kemajuan sains dan teknologi yang dicapai Atlantis, yang diceritakan ahli falsafah Greek iaitu Plato dalam teks 'Timaeus and Critias'.
# Ada pihak percaya Kerajaan India kuno itu berperang dengan Atlantis.
# Di kota kuno India, Scotland, Perancis, Turki dan beberapa tempat lain, ditemui batu-bata dan batuan yang berubah bentuk dan ia hanya mungkin berlaku akibat suhu tinggi hasil ledakan bom atom atau nuklear. Selain India, kesan peperangan menggunakan senjata nuklear itu turut dijumpai di Babilon kuno, gurun Sahara di Afrika dan guru Gobi di Mongolia.
# Reaktor nuklear berusia dua juta tahun pernah dijumpai di Oklo, Afrika Selatan.
# Di kota besar Rishi di Mohenjodaro (Pakistan), ahli arkeologi pada akhir abad lalu pernah menemui kerangka yang bergelimpangan di jalan, ada yang berpegangan tangan seolah-olah mereka dilanda malapetaka yang amat dahsyat secara tiba-tiba. Pada kerangka itu ada kesan sisa radioaktif yang tinggi, sama dengan yang dijumpai di Hiroshima dan Nagasaki.
# Ada kajian mendapati pesawat yang digunakan pada peperangan itu berbentuk piring terbang dan ia dikaitkan dengan penemuan UFO pada masa kini.