Sunday, July 3, 2011

Syarat Baru Tabung Usahawan Siswazah (Graduate Entrepreneurs Scheme) 2011



Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memperkenalkan syarat baru Tabung Usahawan Siswazah 2011 selaras dengan agenda Program Transformasi Ekonomi (ETP).


Inilah dia syarat-syarat baru yang di perkenalkan dan berkuat kuasa serta merta :- 


  • Jumlah pinjaman Tabung Usahawan Siswazah (TUS) di naikkan dari RM250,000 kepada RM500,000

  • Bagi pengambilalihan syarikat pula, jumlah pembiayaan adalah sehingga RM750,000. 

  • Tempoh kelonggaran pembayaran balik antara 2 tahun hingga 4 tahun 

  • Tempoh pembiayaan untuk bangunan dan premis perniagaan dilanjutkan sehingga 20 tahun. 

  • Umur kelayakan pemohon dinaikkan kepada 40 tahun berbanding 35 tahun sebelum ini.

  • Syarat tamat pengajian tidak melebihi 15 tahun akan dipertimbangkan untuk pinjaman berbanding syarat asal 10 tahun.


Untuk makluman lanjut, boleh kunjungi website Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di http://www.insken.gov.my atau hubungi talian : +603-8880 5711


Secara peribadi, saya dapat merasakan syarat baru yang diperkenalkan ini dapat menggalakkan lebih ramai lulusan institusi pengajian tinggi menceburi bidang keusahawanan...

Wednesday, April 6, 2011

Ku Li : Henti Anak Tiri Negeri Pembangkang

Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Putrajaya menghentikan sebarang amalan menganak-tirikan kerajaan negeri pembangkang dan merujuk kepada isu royalti minyak Kelantan sebagai contoh hak rakyat negeri dinafikan .

"Saya rasa tak ada perkara yang patut menghalang pemberian wang tunai ini daripada dilanjutkan ke negeri berkenaan (Kelantan). Ada minyak bayarlah, "kata Tengku Razaleigh kepada TVSelangor.

"Tak ada (wang ehsan) dalam Akta Kemajuan Petroleum. Wang ehsan ini sedekah. Rakyat (Kelantan) bukan nak minta sedekah, Ini (royalti) hak dia," tambah beliau.

Tokoh veteran Umno itu menegaskan Kerajaan Pusat tidak harus menganaktirikan kerajaan negeri walaupun dokongan politik masing-masing berbeza kerana ia hanya menyusahkan rakyat.


"Tak kira siapa kerajaan pun, Samada di Kelantan, Kedah, Pahang, Selangor dan Johor sama sahaja. Jadi kalaulah hendak menganaktirikan negeri sebab berlainan politik, tak patut (kerana) yang menanggungnya adalah rakyat, bukan kerajaan yang berkuasa," tegas beliau. "Tak ada keadilan dari segi itu," tambahnya.

Tengku Razaleigh berkata konsep Federalisme di Malaysia tidak akan bermakna jika hak-hak kerajaan negeri dibelakangkan.

"Kalau kita dengar ada negeri yang tak dapat layanan sewajarnya, saya rasa itu tak patut. Ia bertentangan dengan semangat Persekutuan itu sendiri. Jadi tak ada makna adanya (konsep) Persekutuan kalau semangat kerjasama dan tolong menolong tidak diteruskan,"kata beliau.

Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah dibawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Pemimpin negeri berkenaan sering merungut dipinggirkan dalam pelbagai program kerajaan pusat.

Pengagihan peruntukan untuk negeri-negeri berkenaan juga didakwa tidak setimpal berbanding negeri di bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional.

Kerjasama antara Kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga suram kerana arahan-arahan tertentu daripada Menteri berkenaan dikatakan didorong atas pertimbangan politik.

Contohnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dilaporkan pernah melarang kakitangan dan pegawai agensi Kementerian Pertanian menghadiri mesyuarat pembangunan yang dianjurkan di empat negeri pembangkang.

Manakala Radio Televisyen Malaysia cawangan Selangor diarah berpindah keluar daripada Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor oleh Putrajaya, sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Tengku Razaleigh berkata tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan menganak-tirikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak boleh ditolak begitu sahaja.

"Saya dengar ada pihak pusat nak cuba sabotaj pentadbiran negeri. Saya dengar di Pulau Pinang, bukan dari pihak yang berkuasa di negeri itu, tetapi dari rakyat yang memberitahu saya ada (yang) dihasut pegawai supaya jangan beri kerjasama dan sebagainya. Saya rasa tak patut. Seharusnya wajib diberi kerjasama kepada siapapun yang memerintah sebaik mungkin untuk sampaikan khidmat dan apa yang perlu kepada rakyat," kata beliau.

Mengimbau isu royalti minyak Kelantan, Tengku Razaleigh berkata Kelatan tidak harus dilayan berbeza daripada Sabah dan Sarawak semata-mata kerana negeri pantai timur itu dibawah penguasaan Pas.

"Kalau negeri nak terima 5 percent, syaratnya minyak kena ada berhampiran dengan negeri. Sabah dan Sarawak terus dapat (royalty). Kalau ikut (prosedur itu), Sarawak pun tak boleh dibayar. Maknanya Kerajaan boleh arahkan Petronas jangan bayar Sarawak," kata beliau.

Perdana Menteri Najib Tun Razak sebelum ini mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti untuk minyak yang digali di kawasan persisirannya namun akan diberikan wang ehsan RM20 juta sebagai ganti.

Tawaran itu ditolak oleh kerajaan negeri yang mengemukakan pelbagai bukti untuk menyokong hujah bahawa rakyat Kelantan berhak mendapatkan royalti sehingga RM2 bilion.

Kerajaan Kelantan mengambil keputusan untuk mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.

Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas juga membayangkan kepimpinan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak melaksanakan Akta Kemajuan Petroleum secara betul sehingga mengakibatkan pelbagai kemelut.

"Sebenarnya Perdana Menteri dalah Menteri bertanggungjawab mengenai minyak di negara ini mengikut Akta Kemajuan Petroleum. Tapi pelaksanaan akta ini tidak betul. Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan menasihati Perdana Menteri mengenai perkara-perkara seperti cari gali dan penyimpanan rizab," kata Tengku Razaleigh.

"Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan dianggotai pegawai kanan Kerajaan persekutuan dan negeri pengeluar minyak. Mereka sepatutnya menasihati Perdana Menteri, namun majlis ini tak wujud sekarang," kata beliau.

Monday, April 4, 2011

ISU VIDEO SEKS - PANDANGAN SAYA

Pandangan saya yg tidak berpihak adalah, video ini tidak boleh dijadikan bukti untuk membuat tuduhan kerana ianya tidaklah benar-benar jelas. Sebelum ini pun banyak kes video2 seks yg kononnya artis tempatan tersebar tapi sebenarnya adalah lakonan perempuan latin yang mempunyai iras artis tempatan.
Bagi saya kembalilah kepada perintah Allah dan Rasul yang meminta 4 saksi utk tuduhan zina.
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).
Sekiranya tidak cukup, walaupun anda tahu ianya benar, maka anda hendaklah diam dan sesiapa yang menutup aib saudaranya Allah akan menutup aibnya di hari akhirat. Ingatlah dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram tanpa khilaf.
“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Kepada penyokong Pakatan pula, jika anda tidak suka pemimpin anda difitnah dan dituduh tanpa bukti yang jelas, maka janganlah anda juga melakukan perkara yang sama. Dalam masa anda meminta keadilan dan bukti-bukti yang kukuh, dan juga meminta dikemukakan 4 saksi dan sekiranya tiada meminta hukuman Qazaf dijatuhkan, janganlah di masa yang sama mulut-mulut anda tidak segan silu meratib isu DS Najib dengan Altantuya dan menuduh DS Rosmah ‘C4 kan’ Altantuya, walaupun anda tidaklah mempunyai apa-apa bukti, gambar atau video sekalipun !
Dan sekiranya suatu hari ditakdirkan terdapat video seks yang iras-iras DS Najib, maka pihak Pakatan seharusnyalah juga meminta  4 saksi dan tidak bertindak menyebarkannya dan meratib-ratibnya dalam ceramah-ceramah yang selalu terjadi dalam ceramah-ceramah politik Pakatan !
Akhirnya saya amat berharap dan menyeru, agar mana2 pihak atau parti agar tidak lagi bermain politik kotor dan mendedahkan aib peribadi mana-mana ahli politik. Jika ada yang perlu dideahkan adalah penyelewengan harta rakyat dan salah guna kusa serta apa-apa kesalahan yang berkait kepentingan awam.
 Janganlah bila kena pada musuh kita gembira, bila kena diri sendiri, bising pula. Marilah kita berubah menuju politik baru, politik yang saya namakan Politik Fakta, Politik Hikmah !
Akhir kata, ‘BERSIKAP ADILLAH, WALAUPUN TERHADAP MUSUH !’